“Sesungguhnya orang-orang yang beriman hanyalah orang-orang yang beriman kepada Allah dan Rasulnya kemudian mereka tidak ragu-ragu, dan mereka berjihad dengan harta benda dan jiwa raga mereka pada jalan Allah, mereka itulah orang orang yang benar.”
- Al-Hujurat : ayat 15
Iman adalah membenarkan dengan hati, mengaku dengan aqal fikiran dan membuktikan dengan amalan-amalan.
Hati hendaklah benar-benar yakin dan percaya kepada Allah dan rasul-Nya. Tasdiq atau keyakinan yang tidak bercampur syak dan tidak ragu-ragu. Juga tidak ada rasa tidak puas hati, rasa tidak layak, rasa lapuk dan rasa was-was terhadap din sistem Allah Subhanahuwata’ala atau terhadap hukum-hukum Allah Subhanahuwata’ala. Keimanan yang penuh yakin dan tidak goncang lagi.
Keimanan seperti inilah yang akan melahirkan jihad dengan harta benda dan jiwa di jalan Allah Subhanahuwata’ala.
Hati yang telah memiliki iman akan berasa puas, tetap dan mantap. Hati ini akan mendesak tuannya untuk melaksanakan perintah-perintah Allah Subhanahuwata’ala. Hati ini mendesak supaya dia melaksanakan Islam di dalam diri, masyarakat dan realiti hidup. Inilah tanda iman yang sudah bertakhta di hati. Iman itu tidak jumud. Apa yang dirasakan di dalam hati mesti disepadukan dengan amalan-amalan hidup. Jika bertentangan antara hati dan amalan maka itulah yang dinamakan nifaq.
Inilah iman yang hakiki. Iaitu iman yang tidak sabar-sabar lagi untuk beramal dan berjuang. Iman yang tidak rela atau tidak sanggup untuk memisahkan tuannya daripada apa yang ada di dalam jiwa dengan amalan hidup harian.
Jika seseorang itu cuma mendakwa bahawa dia beriman kepada Allah Subhanahuwata’ala, tetapi masih ada peraturan-peraturan Allah Subhanahuwata’ala yang dirasakan tidak puas hati, tidak mahu dilaksanakan, rasa tidak sesuai, rasa sudah ketinggalan zaman atau rasa tidak perlu maka itu bukan iman yang hakiki kerana dia tidak menyatukan apa yang ada di dalam hati dengan tindakan di luar.
Sekarang, sebahagian besar praktik hidup masyarakat berjalan tanpa di pandu oleh iman. Mengapa terjadi sedemikian? Mungkin mereka bersyahadah, tetapi syahadah itu tidak masuk dan tidak meresap ke dalam hati.
Sekiranya terdapat amalan-amalan yang berlawanan dengan ajaran Allah Subhanahuwata’ala, maka itu bermakna apa yang ada di dalam hati dengan amalan dan tindakan luaran tidak dapat disatukan. Tindakan-tindakan yang salah itu menandakan iman yang lemah atau iman palsu. Ini kerana orang yang beriman pasti tidak sanggup memisahkan apa yang ada di dalam hati dengan apa ada di luar kerana pemisahan ini amat menyeksakan dirinya.
Itulah sifat orang yang beriman. Jika dia tidak dapat melaksanakan Islam dia akan berasa sakit dan tersiksa. Apabila wujud perasaan sebegini, barulah akan lahir jihad. Dia akan mara ke hadapan bila-bila masa sahaja untuk berjihad dengan harta benda, jiwa dan amalan.
Itulah perasaan semulajadi atau dorongan semulajadi yang terdapat dalam jiwa orang yang beriman. Dia berasa perlu untuk melaksanakan Islam yang terang benderang itu ke dalam kehidupannya. Dia tidak sabar lagi untuk melihat Islam berjalan dalam kehidupannya.
Permusuhan antara orang mukmin dengan jahiliyah adalah permusuhan semulajadi yang terpancar daripada perasaan tidak sanggup bersekutu dengan jahiliyah. Beliau tidak sanggup lagi bercampur baur, bertolak ansur atau berkompromi dengan jahiliyah.
Jika seseorang itu dikatakan beriman tetapi dia tidak menolak jahiliyah, maka ini menunjukkan imannya sudah tidak berfungsi . Jika dia berseronok dengan jahiliyyah dan dia diam membatu apabila melihat keluarga sendiri terlibat dalam jahiliyah, maka ini adalah alamat yang jiwanya sudah berpenyakit.
Kita mestilah melawan jahiliyah. Jahiliyah cuma boleh di runtuhkan dengan iman. Iman tidak pernah bersatu dengan jahiliyah sehinggalah jahiliyah itu tunduk di bawah telunjuk iman.
Sesungguhnya iman pasti menang. Apabila kemenangan sudah berpihak kepada iman maka barulah Allah mengakui kita sebagai orang-orang yang benar iaitu As-Sadiqun. Iaitu orang-orang yang benar di dalam aqidah dan amalan.
Orang-orang yang beriman hanyalah orang-orang yang beriman dengan Allah Subhanahuwata’ala dan RasulNya, kemudian mereka tidak ragu-ragu. Mereka tidak ragu-ragu dalam semua hal yang di tanzilkan oleh Allah Subhanahuwata’ala. Mereka tidak ragu-rahu dalam semua hukum dan amalan yang telah di tentukan oleh Allah. Inilah iman yang benar, iman yang sahih dan iman yang mesti di praktikkan dalam kehidupan. Iman seperti ini bukan hanya cukup sekadar bermain di bibir mulut, tetapi mesti lahir dalam waqi’ harian.
Seseorang yang rasa ragu terhadap Allah, maka keraguannya itu dicerminkan dalam amalan hidup dalam berbagai-bagai bidang. Dia ragu terhadap hukum-hakam yang ditanzilkan Allah Subhanahuwata’ala dan ragu terhadap sunnah Rasullullah Sallallahu’alaihiwasallam.
Apabila seseorang mengambil peraturan hidup yang lain daripada peraturan hidup Allah, maka bermakna dia ragu-ragu terhadap peraturan Allah. Jika seseorang mendakwa beriman kepada Allah tetapi masih berminat, suka dan gerun kepada yang lain daripada apa yang Allah tanzilkan maka ini bukan sahaja dikira ragu-ragu bahkan dikira sudah meninggalkan iman.
Allah Subhanahuwata’ala memperingatkan kita semua dengan ayat-ayat-Nya supaya kita sedar dengan perkara-perkara yang bolah memesongkan kita daripada hakikat iman yang sebenar. Dalam realiti sekarang banyak perkara yang boleh meragukan dan memutarbelitkan kita. Oleh itu kita perlu memelihara perjalanan tarbiyyah agar betul-betul berlandaskan apa yang telah ditetapkan Allah sehingga kita sampai kepada keyakinan yang bulat kepada sistem Allah tanpa syak lagi. r